Kisahnya tidak begitu rumit, tidak sarat dan tidak lah terlalu ringan. Tetapi ia cukup lengkap dengan permainan kata-kata, keindahan sastera dan penjiwaan yang padat. Saya bawakan beberapa nilai penting yang saya dapati daripada pembacaan novel ini.
1. Bukan diri yang memilih untuk menjadi jahat
Kadangkala, tanpa iman yang kuat dalam diri, kita memilih untuk berbuat jahat. Kerana apa? kerana semata untuk terus hidup, untuk terus disayangi. Kita juga mungkin boleh berubah sikap atas trauma disakiti dan dikhianati. Alangkah kejamnya dunia hingga mampu merubah manusia berupa malaikat kepada manusia berkelakuan syaitan.
2. Satu kejahatan boleh berbuah kepada beribu kejahatan
Tidak mungkin! Kata orang yang tidak pasti. Jika anda baca novel ini, anda akan terfikir bahawa sungguh mudah satu kejahatan itu untuk berbuah, bahkan bukan atas diri sendiri tetapi kepada orang lain. Jangan fikir kejahatan 'kecil' yang kita lakukan kepada orang tidak berbekas kepadanya, ia mungkin boleh berbuah menjadi kejahatan yang lebih besar.
3. Kuasa kasih ibu
Ibu, insan yang akan senantiasa mencurahkan kasih sayangnya sehingga akhir nyawanya. Walaupun terpisah, cinta ibu pada anaknya tetap akan sama, tidak berubah sama sekali.
4. Fitnah itu membunuh
Satu fitnah, boleh membunuh jiwa, membunuh cinta dan emosi. Waspada dengan fitnah, ia mungkin terlihat ringan tetapi berat akibatnya.
---
Berakhirnya novel ini sekaligus menamatkan kesengsaraan menanggung permainan emosi yang Pak Hamka bawakan. Ia sebuah novel yang cukup padat dengan sindiran masyarakat, ibrah untuk kehidupan dan yang penting kisahnya tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Tidak sia-sia saya tumpahkan air mata untuk karya ini.
Saya sarankan anda untuk baca buku ini. Jika anda sudah baca, apa kata anda?