Friday, April 8, 2016

KEMBALI


Kenderaan berwarna biru tua itu meluncur perlahan mendaki jalanan yang curam. Sekejap ia terlompat-lompat dek jalan yang tidak rata, sekejap ia terhenti menantikan deretan kenderaan dihadapannya. Madina membetulkan duduknya di dalam kenderaan berupa van itu. Tidak dia sangka akan menaiki kenderaan yang dipanggil ‘angkot’ ini lagi setelah sekian lama. Jika dilihat dari luar, angkot tidak tumpah seperti sebuah van tetapi dengan satu pintu kecil belakang dan dua tempat duduk yang panjang berhadapan satu sama lain. Sebuah angkot mampu memuatkan lebih dua belas orang sehingga kadang-kadang melimpah ke pintu. Walaupun berada di dalamnya membuatkan rasa rimas dan panas, tetapi itulah kenderaan awam yang menjadi pengangkutan utama dan murah untuk penduduk di sini bergerak ke sesuatu tempat.

Madina melihat pemandangan yang dihidangkan kepadanya apabila angkot melewati sawah padi yang terbentang luas sepanjang jalan. Pemandangan itu membawa dirinya ke masa dahulu, ketika dia masih anak kecil yang masih tidak kenal erti lelah, hanya tahu bermain sahaja. Tempat inilah, tempat yang menjadi saksi kisah hidupnya. Tiba-tiba hatinya sebak tetapi ditahan sebaik mungkin, risau terlihat oleh orang.

“Neng, kamu mahu ke mana?”, seorang mak cik di sebelahnya menegur. Mungkin hairan melihat dirinya membawa beg besar.

“Saya mahu pulang ke kampung di Curug Bitung, bu” dia menggariskan senyuman walaupun perkataan yang dilontarkan pahit untuk ditelan.

Mak cik itu mengangguk-angguk sambil tersenyum. Madina pula tidak menunjukkan riak muka. Otaknya ligat memikirkan dua perkataan..

‘Pulang….
Kampung…..’

Dua patah perkataan itu bermain-main di fikirannya. Entah kenapa, dia tidak gembira menuturkan perkataan itu, malah beribu kerisauan melanda dirinya. Persoalan demi persoalan menerjah minda sehinggakan dirinya juga tidak mengerti, apa yang mengganggu hatinya.

“Dina, betul ke keputusan kau ni?”

Wajah sahabatnya, Yati di Malaysia terimbas dalam memorinya. Begitu risau rakannya kepada dirinya apatah lagi dia tidak mengizinkan Yati menemaninya. Bukan dia tidak perlukan sahabatnya, tetapi dia pulang dengan satu misi, satu tujuan yang dia ingin lakukan sendiri setelah lama dirinya memendam rasa. Kali ini dia tekad, setelah beberapa kali hasratnya tertangguh.

Sedang Madina mengelamun, dia terasa hawa dingin membalut dirinya, membuatkan dia sedar dia sudah menghampiri destinasinya, Curug Bitung. Ia sebuah tempat yang terletak di atas bukit dengan suhu yang rendah. Penduduk disini tidak perlukan kipas angin, cukup dengan suhu udara yang dingin, terutama di malam hari.

Matanya melilau-lilau memerhatikan setiap ceruk tempat di situ yang menggamit setiap kenangan dalam hidupnya. Dia terlihat jalan kecil menuju ke air terjun, tempat dia biasa bermain sewaktu kecil. Tidak semena-mena hatinya makin tidak keruan, udara yang dingin tadi dirasakan semakin sejuk, mencucuk-cucuk dirinya. Tiba-tiba matanya terlihat pada sebuah rumah yang sangat dikenalinya, lantas meminta pemandu menurunkannya disitu.

Not 10ribu Rupiah dihulurkan dan dia membuat isyarat kepada pak cik itu supaya menyimpan bakinya. Beg diangkat ke tepi jalan, dia berdiri kaku.

Lama dia berdiri, matanya hanya memandang tepat ke rumah itu. Dirinya masih berkira-kira apa yang patut dibuatnya sehinggalah satu susuk tubuh yang dikenalinya muncul dari sebalik pintu. Wajah insan itu, insan yang membuatkan dirinya terlontar ke Malaysia.

Ya, insan itulah misinya. Insan yang telah meninggalkan titik hitam dalam jalur kehidupannya, insan yang sentiasa memendam amarah kepadanya dan insan yang tidak pernah meredhai kewujudannya. Dia terpaku, sorotan memori hidupnya mulai datang satu persatu.

“Anak tak tahu untung! Kenapa kamu wujud dalam hidup aku? Kenapa?!”
‘Pang!’, satu tamparan singgah di pipinya. Dia hanya mampu menangis, diperhatikan saudara tirinya yang lain.

Begitulah liku-liku dalam hidupnya, menghadap cacian dan penderaan sejak kecil hanya kerana dia dilahirkan dari perut seorang wanita yang dituduh menjadi perampas suami orang. Lebih malang lagi, wanita itu pergi meninggalkan anaknya sejurus selepas dilahirkan menjadikan anaknya ibarat anak terbuang, walau masih punya bapa. Dia dijaga oleh jirannya dan diberikan kepada ibu tirinya pada umur 5 tahun. Disitulah bermulanya kisah pahit hidupnya. Kadang-kadang dia cuba mengadu pada bapanya, tetapi bapanya hanya mampu memujuk hatinya supaya bersabar. Bukan bapanya tidak mahu menegur ibu tirinya, tetapi rasa bersalah dalam hati bapanya masih bersarang dek kerana disebut-sebut orang kampung tentang kisah ‘jahat’ nya.

Hampir 20 tahun dia menahan sabar dengan cabaran hidupnya. Semakin hari, ibu tirinya makin kurang memarahinya mungkin kerana faktor usia. Kadangkala, dia juga mendapat belas ihsan daripada jiran sekampung yang tahu tindakan ibu tirinya terhadapnya. Akan tetapi, langit tidak selalu cerah. Amarah ibu tirinya memuncak selepas satu kejadian berlaku, yang membawa dirinya terlontar ke Malaysia.

“Kerana kamu! Kamu pembunuh!”

Madina masih teringat suara ibunya meraung-raung sambil menampar-namparnya, meletakkan salah pada dirinya setelah ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan ketika perjalanan untuk mengambil dirinya di kolej. Dia juga bingung, kenapa begitu sekali benci ibu tirinya padanya sehinggakan menuduhnya sebagai pembunuh. Hakikatnya, pemergian ayahnya telah meletakkan luka dalam pada hatinya lalu dia membuat keputusan untuk pergi, meninggalkan tempat kelahirannya dan keluarga yang tidak pernah menganggapnya sebagai ahlinya.

Sewaktu pemergiannya, ibu tirinya tidak langsung memandang wajahnya apatah lagi menahannya daripada pergi. Dia pergi membawa diri ke Malaysia dan menyambung pengajiannya dengan biaya yang dipinjam dan dibantu oleh beberapa badan disitu sehingga dia lulus dengan berjaya. 
Maka, kini dia kembali.


“Dina, betul ke keputusan kau ni?”

Wajah Yati kembali menerjah fikiran, meyakinkan dirinya bahawa dia tekad untuk lakukannya. Walau apa yang terjadi, dia mahu menuntut kembali, apa yang dia hilang sewaktu zaman kecilnya.

“Madina?”
Suara kasar dari wajah tua dihadapannya mengejutkannya dari lamunan memori. Madina memandang wajah kuyu itu.

“Ya, errr ibu.” Dia tunduk, bersedia menerima hukuman.

Tanpa dijangka, dia merasakan dirinya dipeluk erat, bahunya basah dengan linangan air hangat. Dia buntu, tidak mampu menafsirkan apa yang terjadi. Hairan sekali jika ini adalah tindakan dari ibu tirinya. Jika dahulu, memanggil ibu tirinya dengan gelaran ibu sahaja sudah cukup untuk membuatnya menahan pedih dipukul.

“Madina..Madina.. ibu kangen, nak. Kangen sama kamu”

Madina terdiam. Hatinya mula sebak, dihiasi bunga kegembiraan yang dia sentiasa inginkan selama ini. Pelukannya dieratkan, senyuman mula terukir diwajahnya.

“Ibu… maafkan Madina ibu.. Madina sudah pulang ni, bu”

Pelukan dileraikan, ibu tirinya mengulas lembut pipinya.

“Nak, ibu yang harus minta maaf. Sejak kamu pergi, ibu terasa kosong, ibu menyesal dengan semua perbuatan ibu. Ibu mahu mencari kamu tapi ibu tidak tahu bagaimana nak”
Teresak-esak ibu tirinya menuturkan.

Tanpa sebarang kata, dia mencium tangan ibu tirinya dan memeluk erat dengan deraian air mata. Dia bersyukur, misinya tercapai. Inilah hasratnya, inilah tujuannya yang dipendam sekian lama. Dia tidak pernah berdendam dengan ibu tirinya tetapi sentiasa menagih kasih seorang ibu, kasih yang tidak pernah dirasainya sejak kecil.


Ucapan hamdalah meniti dibibirnya, Allah akhirnya memberi peluang kepadanya untuk menagih kasih, kasih seorang ibu! 

No comments:

Post a Comment

Thanks for dropping your comments. Tick on 'Notify Me' to get notified on any replies for you :)