Sunday, November 20, 2016

Bedah Filem | New York Cinta

MELAYU KE ISLAM?

Semalam ada tengok satu filem Melayu - New York Cinta. Kisah tentang Mia yang sambung belajar di New York dan bertemu Seth, seorang lelaki Melayu yang tinggal di NY lebih 10 tahun.

Ini kisah cinta, jadi semestinya Mia dan Seth sama-sama jatuh hati dan saling mencintai, sehingga lah Seth dikenalkan kepada Sarah, kawan Mia yang baru 8 bulan di NY. Sarah menggoda Seth sehingga tercetus perbalahan antara Mia dan Seth yang membuatkan Mia akhirnya pulang ke Malaysia.

Okay, saya bukan nak bercerita tentang jalan cerita filem ni, tapi apa yang menarik perhatian saya tentang filem ni adalah beberapa kenyataan atau dialog yang membawa persoalan yang agak mengelirukan saya.

'Melayu ke Islam?'



Baik, biar saya bawa anda ke babak-babak filem ni:

1. Seth minum bir dalam kereta Mia.

Mia terlangar Seth di Boston, lalu menumpangkan dia untuk ke NY. Ketika mereka berhenti berehat dalam perjalanan, Seth membeli bir dan dilihat oleh Mia. Mia mengambil bir Seth dan membuangnya dengan amaran; "No beer in my car! Ni air kencing setan la, Tuhan nampak tau tak?"

2. Mia dan kawan baiknya, Charles.

Charles adalah lelaki NY yang tinggal bersama Mia di sebuah apartmen. Tinggal satu rumah dan berkawan mesra dengan Mia. Dia lah tempat luahan hati Mia dan kawan yang sentiasa memujuknya. Charles berperwatakan agak lembut, dan disenangi Mia. Mereka berkawan rapat, jadi bersentuhan, berpelukan dan duduk bersama sudah menjadi kebiasaan.

3. Sarah dan New York.

Sarah datang melawat Mia selepas mengetahui Mia datang ke NY. Mia terkejut melihat perubahan kawannya yang sebelum ini memakai tudung tetapi sekarang sudah berpakaian seksi dan suka bersosial. 
"Boleh aku tahu, kenapa kau buka tudung?"
"Sebelum ni, aku pakai tudung dan aku tak sedar yang aku hidup dalam ortodoks. Bila aku datang NY, aku lihat semua orang free dan takde orang nak kawal, jadi aku decide untuk jadi free and enjoy my life"

*Sarah di NY selama 8 bulan

3. Mia gadis baik.

Mia ditunjukkan sebagai berperwatakan baik dan sopan serta sentiasa menjaga ciri-ciri seorang bangsa melayu. Apabila bertemu dengan Seth, yang sudah tidak lagi seperti orang Melayu, Mia berniat untuk mengubahnya. Ada satu ketika, Seth menghantar Mia pulang ke rumah dan ingin memberikan 'goodbye kiss' di pipi tetapi Mia elak dan mengucapkan 'Assalamualaikum'. Well, dia Melayu yang baik. Mia juga menyediakan masakan Malaysia untuk Seth agar dia kembali mengingati asal usulnya.

4. Doa

Mia dan Seth duduk di atas bumbung (rooftop) menikmati pemandangan malam berdua. Seth mengatakan tempat ini memberikannya inspirasi kemudian dicantas oleh Mia dengan mengatakan; "Kenapa awak tak doa?"
"Alamak, tak romantik langsung la"
Seth tersengih.

5. Happy ending

Penamat kisah ni agak 'cheesy' dengan babak confession di stesen radio. Selepas Mia terima apology daripada Seth, mereka berpelukan dan disambut dengan teguran oleh DJ;
"Eh, kita orang melayu tak boleh peluk-peluk"

----------------------------------------------

Jadi, Melayu ke Islam?

Saya agak keliru dengan motif yang ingin disampaikan oleh filem ini. Mia digambarkan sebagai seorang gadis baik yang sentiasa menjaga adab dan ciri melayu tetapi masih melakukan perkara bertentangan syariat (tidak menutup aurat, bersentuhan lelaki, tidak menjaga ikhtilat dan khalwat-bersendirian dengan lelaki dalam satu rumah). Jadi, saya kira disini Mia hanyalah seorang gadis Melayu yang baik, bukan muslimah solehah.

Saya juga keliru tentang tujuan kisah Sarah. Adakah kisah itu ditimbulkan untuk memberi kesedaran tentang 'culture shock'? Atau sekadar ingin menaikkan watak Mia yang masih mempunyai CIRI MELAYU walaupun tinggal di luar negara? Teguran Mia tentang tudung Sarah seperti membawa kita balik kepada agama tetapi tidak pula ditunjukkan pada Mia sebagai protagonis dalam kisah ini. Hm.

Niat baik Mia untuk mengubah Seth sesuatu yang perlu dipuji. Ada elemen pengajaran terselit di situ. Tetapi, kisah ini seperti menunjukkan bahawa untuk berubah, perlulah kembali membina ciri-ciri Melayu dalam diri, bukannya dengan kembali pada agama. Saya terkeliru di sini, kerana Mia ada menegur Seth tentang doa dan mengucap salam padanya tetapi gambaran keseluruhan kisah ini tidak membawa penonton kepada agama.

Bahagian penutup kisah ini menunjukkan DJ menegur Mia dan Seth kerana berpelukan dengan ayat; "Eh, orang melayu tak boleh peluk-peluk"
Hm. Disini saya lihat, penekanan kisah ini sangat memfokuskan kepada pembawakan ciri Melayu sebagai asas penting jatidiri. Ia diibaratkan seperti jika hilang ciri Melayu, hilang jatidiri. Akan tetapi, elemen agama Islam yang sepatutnya menjadi asas bina insan tidak difokuskan malah disekularkan dengan hanya mengambil sedikit-sedikit dan tidak keseluruhan daripada agama.

Selepas lebih kurang dua jam menonton filem ini, saya dapati ia bukan lah satu filem yang membawa mesej agama yang baik tetapi hanyalah filem Melayu yang mengangkat bangsa dan dipisahkan dari agama.

Anda pernah menonton filem ini? Apa pendapat anda?

BintangHati

No comments:

Post a Comment

Thanks for dropping your comments. Tick on 'Notify Me' to get notified on any replies for you :)