Friday, June 5, 2015

No, I don't want this to be over


Kita dah banyak kongsi cerita, dah banyak bergelak ketawa, banyak luah rahsia, saling menumpang bahu untuk tangisan kita. Akhirnya, kita harus melepaskan satu sama lain?
.......

Kata-kata itu terngiang di telinga Nia, sungguh dia rindu pada suara itu;

       "Aku mula jumpa kamu...", Dila membuka bicara, dia memandang tepat wajah sahabatnya itu seraya menyambung, "masa tu aku masih bodoh-bodoh tak tahu apa itu erti berganding bahu. Apatah lagi erti ukhuwah dan perjuangan beribu batu. Senyum yang kau berikan aku balas dengan riang. Aku yakin aku telah jumpa teman yang akan bawa aku ke jannah dan gapai mardhatillah. Kamu, ya kamu yang sentiasa ada disisi aku. Masa aku kecewa kau angkat kembali semangat aku. Masa aku sedih kau hulur bahu dan pelukku erat. Aku dapat rasa kan itu. Kasih sayang yang kau hulur, yang tulus walau kau tak pernah tutur... tapi..."

Dia melepaskan nafas berat. Tanpa disedari air matanya meluncur laju. Tiada bicara yang mampu dituturkan lagi. Nia memegang kedua belah bahu sahabatnya itu. 

"Pandang mata aku Dila"

Senyum. Dila memandang sayu wajah Nia sambil teresak-esak mengelap air matanya.

" Sudah habis bicara kau? Ada apa-apa lagi yang ingin kau sampaikan?"

Dila menggeleng.

"Dila, sahabat yang aku sayang. Jika ingin diluahkan dengan kata-kata, tak terungkap semua yang tersimpan di dalam lubuk hatiku. Aku tahu Dila, kau sangat menangisi perpisahan ini tetapi bagaimana pula aku?  Hati aku lebih berat menanggung beban untuk meninggalkan kamu. Kau yang aku sapa pada mula kita bersua. Kau yang aku belai bila kau kesunyian dan kau juga yang sentiasa mengingatkan aku kepada Allah. Kita telah bersama dalam medan tarbiyah, telah berpenat lelah dalam berjuang. Aku tak mampu tanpa kau Dila...."

"Maka tidak haruslah kita berpisah!?"
Dila memandang tajam ke mata Nia, Hatinya remuk sekali.

"Sahabatku... benar, Allah telah berfirman dalam Surah As-Saff bahawa Allah menyukai orang mukmin yang berperang di jalan Allah dalam satu saff yang ibarat bangunan yang tersusun rapi. Tapi Dila, hanya aku kah insan yang ada dalam perjuangan ini? Hanya aku kah yang mampu untuk terus membuat mu istiqamah dalam medan ini? Lupakah dikau kepada Sirah Rasulullah SAW apabila wafatnya Nabi SAW, Allah telah berfirman:

 "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah sedikit pun. Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur"  (Surah Al-lmran: ayat 144) 

Ingat kembali bagaimana penat lelahmu untuk sampai ke tahap ini. Apa matlamatmu sahabat, adakah hanya akan terus berjuang bila aku disisimu? Jika Islam yang kau perjuangkan dan Allah yang dikau sayang, percayalah, cinta dan perjuangan mu adalah hakiki. Aku pergi bukan selamanya, hanya menjauh darimu untuk sedikit masa sehingga suatu masa yang Allah tetapkan untuk kita bersua. Percayalah sahabatku, dikau sudah cukup hebat untuk berada di medan ini bersama yang lain, tanpa aku. Tanpa aku, tetapi tetap bersama mereka. Tiada aku bukan bermakna tiada perjuagan sayang..."

Nia cuba menahan sebak tetapi titisan jernih dari matanya gugur jua. Dia memeluk erat sahabatnya yang masih sirna dengan kata-kata yang dituturkan Nia. 
Akhirnya Dila menuturkan,

"Nia, ketahuilah dikau akan menjadi sahabat sejatiku sehingga ke syurga. Terima kasih untuk perkenalan ini, terima kasih untuk kasih sayangmu. Aku bersyukur Allah menemukan aku dengan dikau Nia. Aku memilih cintaNya untuk terus thabat Nia. Semoga Allah pertemukan kita di satu masa yang indah buat kita berdua. Aku mohon ampun daripada kau untuk segala salah silapku..."

"Aku maafkan sahabat, semoga bertemu lagi. Perpisahan ini perit tapi indah dengan barakah"

---
Nia menyapu air mata yang berbekas di pipinya, bimbang dilihat orang ramai yang berekreasi di Hyde Park, di bumi Kota London. Dia membuka sepucuk kertas ditangannya.


Nukilan buat sahabatku...

Kau kenalkan aku dengan tarbiyah
Yang asing dan pusing bagi aku
Si anak muda yang mentah dalam dakwah
Apatah lagi perjuangan berliku

Kau belai aku dengan impian
Impian yang beri aku semangat baru
Agar aku terus berjalan
Menempuh ujian di hari baru

Kau sapu tangisanku
Kala aku diam dan lesu
Dengan perjuangan yang makin kelabu
Di mataku yang mula layu

Kau bangkitkan aku dengan harapan
Walau aku sudah perit berjalan
Namun kau yakinkan dengan senyuman
Kau kan terus temaniku berjuang

Kau tuturkan sayang
Dan nasihat yang berpanjangan
Dikala aku tersasar dari jalan
Juga terlupakan asal tujuan

Sahabat,
Aku pilih cintaNya kerana ku cintakan kamu
Semoga Allah melindungimu.

Dila
Sg Soi, Pahang

Nia tersenyum. Dia masih teringat Dila pernah mengucapkan kepadanya;

"No, I don't want this to be over"

Nia membalas dengan senyuman riang,

"There will never be an over for us. It's just Allah want us to be apart to feel the needs of each other. La Tahzan"

Allah telah menitipkan cinta dan sayang kepada hamba-hambaNya untuk terus membina ukhuwah yang akan perkuatkan jalan dakwah. Nilai ukhuwah tidak ternilai dengan wang mahupun harta.

"Allah, lindungilah dia" 

Doa Nia di dalam hati.

No comments:

Post a Comment

Thanks for dropping your comments. Tick on 'Notify Me' to get notified on any replies for you :)