"Ish ish ish dunia sekarang, macam-macam"
"Kita la yang kena ubah"
"Kita? Ubah dunia?"
"Ya lah. tu kan tugas kita"
"Eh? Kita,... siapa?"
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bismillah. Assalamualaikum.
Dunia makin parah. Islam dipandang rendah. Agama dipermainkan dan peraturan Allah mula diremehkan.
Apa punca ini semua?
Agama tidak dihayati dengan sebaiknya. Islam hanya pada nama.
Tirai 2015 dibuka dengan pelbagai kisah, dari isu di Malaysia sehingga lah isu dunia.
Tapi, lihatlah...
Di Paris, mereka bersolidariti untuk menentang Charlie Hebdo, syarikat akhbar yang menghina Nabi SAW.
Mereka juga menghimpun usaha membuktikan agama Islam itu tidak ganas dan mengecam pembunuhan beramai-ramai. Hashtag '#jesuisAhmed' digunakan bagi mengenang seorang anggota polis muslim yang maut dalam serangan dari extremist di pejabat Charlie Hebdo.
Seluruh dunia marah atas tindakan yang dilakukan oleh extremists tersebut dan dalam masa yang sama mengutuk tindakan Charlie Hebdo dalam menyiarkan kartun-kartun yang menghina agama lain. Bukan sahaja rakyat di Paris tetapi muslim seluruh dunia bersama-sama menyahut solidariti menegakkan nama Islam dengan menyebarkan hashtag #jesuisAhmed kerana dengan kejadian ini, ada yang melihat Islam sebagai satu agama yang ganas.
Di Malaysia, beberapa hari selepas Maulidur Rasul, seorang artis dilamar di atas pentas program hiburan dalam satu rancangan TV dan menarik perhatian ramai rakyat malaysia, tidak kira lah yang memuji mahupun memberikan 'nasihat'. Kemudian itu pula, satu pasangan artis mengadakan majlis tahnik anak mereka dengan penuh gilang-gemilang dan disambut dengan ucapan pujian dari orang ramai.
Ada pula satu pasangan lagi, bermain tarik-tali dalam percintaan mereka yang mengundang perhatian pihak media dan para peminat.
Isu terbaru? Gadis melayu dipeluk oleh artis Kpop dan dikecam oleh ramai pihak sedangkan yang terhegeh-hegeh berpelukan dalam 'lakonan' drama di sambut dengan anugerah.
Maka nya, di mana keprihatinan kita pada isu dunia or to be exact, isu Islam sedunia? Apa usaha kita ketika Islam dipandang enteng oleh dunia? Aku bukan mengatakan 100% rakyat malaysia tidak prihatin tetapi melihatkan apa yang menjadi 'popular' di negara ini, menggambarkan tahap keprihatinan kita.
Negara Islam kan?
Aku juga tidak lah menonjolkan diri bersolidariti, tetapi aku cuba menitipkan sedikit usaha untuk membantu mereka bersolidariti dan aku yakin, anda juga pasti ada yang memberikan sedikit usaha kan?
Siapa tahu, usaha kita yang kecil ini boleh menghasilkan sesuatu yang besar nilainya. insyaAllah.
"Jangan begitu, Malaysia dilanda banjir pada penghujung 2014. Rakyat Malaysia pemurah kot."
Ya, aku puji dan hormat semua rakyat Malaysia yang sangat pemurah membantu mangsa banjir. Semoga Allah merahmati kalian. Yang baik harus diteruskan :)
Aku marah kah? Tidak.
Tetapi aku sedih dan kecewa apabila menggambarkan situasi yang berlaku dalam negara ini. Bagaimana tahap didikan agama kita kepada para remaja khususnya dan betapa budaya hedonisme menular dalam kalangan kita. Kita terlalu leka dengan hiburan semata, kurang berfikir tentang masalah ummah dan terlalu men'jamu' nafsu. Alhamdulillah, sambutan tahun baru di ubah temanya pada kali ini, tetapi masih, semua bencana (ujian) yang Allah turunkan bagaikan tidak memberi keinsafan dalam diri.
Bukan sekali kejadian melibatkan extremist berlaku. Beberapa bulan yang lepas, sudah berlaku 'Sydney Siege' dan Australians khususnya, tidak kira muslim atau tidak bersolidariti dengan hashtag #illridewithyou , menunjukkan sokongan terhadap muslims. Sebelum itu pula, berlaku pembunuhan beramai-ramai di sebuah sekolah di Pakistan yang membunuh ramai kanak-kanak. Terkini, Charlie Hebdo masih menyiarkan karikatur Nabi SAW dan kita, masih begini? Apakah semua ini tidak tersemat dalam fikiran kita?
"Jadi apa yang kau mahu?"
Sahabat, aku menulis tentang ini untuk kita lihat ke dalam diri kita. Ya, kita. Kita sebenarnya insan yang hebat, yang bisa merubah pandangan dunia terhadap Islam, yang mampu menegakkan agama Islam di mata dunia. Kenapa kita?
Siapa kita?
Nah, siapa kita?
Buka Al-Quran, jom kita cari siapa kita.
Firman Allah SWT, mafhumnya :
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.'.... "
(2:30)
Jelas. Salah satu tujuan penciptaan manusia selain untuk mengabdikan diri kepada Allah adalah sebagai khalifah di muka bumi. Khalifah, pemerintah, pentadbir.
Maka apa tugas kita?
.
.
Menegakkan agama Islam dan mentadbir dengan asas agama.
"Tapi.. saya tak layak, tak mampu.."
Siapa kata?
Hadis Nabi SAW:
Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.
Nabi SAW telah menyebutkan dalam hadis baginda, setiap kita adalah pemimpin dan kita, sepertimana tujuan Allah mencipta kita, harus berusaha untuk menegakkan agama Islam di muka bumi Allah SWT. Dengan kata lain, kita harus berusaha menyeru manusia ke arah kebaikan dan menyebarkan dakwah Islamiyah.
Maka, setiap daripada kita adalah Dai'e. Ya, Dai'e-pendakwah.
Individu yang melakukan amar maaruf nahi mungkar.
Jadi, jangan dipandang rendah tugas kita di muka bumi ini. Ia satu tugas yang hebat, satu amanah yang berat dan satu tugas yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin. Ingatlah pada hadis SAW:
"sampaikan dariku walau sepotong ayat".
Maka, wahai para du'at ayuh lebarkan sayap dakwahmu, yakinlah anda adalah ciptaan yang istimewa.
Tapi bagaimana ingin bermula?
Pada hemat aku, kita mulakan dengan diri kita,
kerana kita masih tidak berkuasa untuk memerintah, maka ubah diri kita, terapkan akhlak yang terbaik ke dalam diri agar muslims dipandang tinggi sekaligus Islam akan disanjung.
Tingkatkan ilmu kita, penuhkan di dada.
Ubah sikap yang tidak baik kepada yang baik dan hebat.
Banyakkan sifat mahmudah, upgrade sistem pertahanan melawan syaitan.
Mula sebarkan dakwah, ajak lah ke arah kebaikan, halang kemungkaran.
Banyakkan buat perkara untuk kebaikan ummah dan Islam.
Beri sokongan pada pihak yang buat kebaikan.
InsyaAllah, usaha sedikit dan berpanjangan akan membuahkan hasil yang bermakna suatu hari nanti.
Tidak kira lah siapa kita, budak agama ke, budak ekonomi ke, engineer, doktor, ustaz, ustazah, budak sains mahupun peniaga di pasar malam dan insan yang memberikan masa sepenuhnya di rumah. Ayuh berusaha sebarkan Islam, sahut tugas yang Allah berikan kepada kita kerana kita bukan robot yang tidak berperasaan tapi kita manusia yang punya keistimewaan.
Wassalam. Semoga bermanfaat. Maaf salah silap.
**BintangHati
.
.
.
.
" Kita bukan robot yang tidak berperasaan. Tapi kita manusia yang punya keistimewaan"
No comments:
Post a Comment
Thanks for dropping your comments. Tick on 'Notify Me' to get notified on any replies for you :)